13 ADUN PAS masih enggan ikrar sokongan Wan Azizah

13 ADUN PAS Selangor masih enggan menandatangani sokongan secara hitam putih kepada calon menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hal ini merumitkan PKR yang mahu memastikan kesemua 43 ADUN Pakatan di Selangor menyatakan kesetiaan kepada presiden PKR itu. Perbincangan tersebut bagaimanapun masih belum menemukan sebarang penyelesaian, kata seorang pemimpin PKR yang enggan dinamakan.

Datin Seri Wan Azizah

Wan Azizah dalam sidang medianya sebelum ini mengumumkan bahawa beliau mendapat sokongan 30 dari 56 ADUN Selangor termasuk dua dari PAS.

Sementara itu satu sumber rapat dengan PAS Selangor mengesahkan 13 ADUN PAS termasuk empat Exconya tidak muncul untuk menyokong Wan Azizah.

Menurut sumber tersebut, para wakil rakyat tersebut berbuat demikian kerana “tidak mendapat arahan” dari pimpinan PAS Pusat untuk menandatangani sebarang sokongan atau perakuan untuk menyokong Wan Azizah.

Setakat ini, hanya dua orang ADUN PAS yang menandatangani dokumen tersebut, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Kongsi pendapat anda