Hari ini, 22 Februari genap 23 tahun pemergian penyanyi kesayangan ramai Dato Sudirman Hj Arshad pulang ke pangkuan Ilahi. Sudir, nama yang akan terus meniti bibir peminatnya saban tahun, tidak pernah lekang namanya dari ingatan terutama para peminatnya.
Sudir legenda muzik negara, tiada galang ganti dan legasi yang ditinggalkannya terus segar hingga ke hari ini. Siapa yang boleh melupakan lagu-lagu ikonik Allahyarham antaranya Pelangi Petang, Merisik Khabar, Warisan, Milik Siapakah Gadis Ini, Sepetang Di Pinggir Bukit dan banyak lagi. Bait lirik daripada lagu nyanyiannya, Warisan baru-baru ini diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan yang ke-57 “Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta”.