Misteri Kotak Hitam, Objek diSahkan Bukan Bahan Letupan.

MISTERI kotak hitam yang ditemui orang awam di tepi peti fius elektrik berhampiran pintu masuk pusat beli belah di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur terungkai selepas polis mengesahkan objek berkenaan bukan bahan letupan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 10 malam tadi.

“Anggota polis bantuan pusat beli belah berkenaan memaklumkan penemuan kotak hitam berukuran kira-kira 10 x 5 sentimeter yang kelihatan seperti bom.

 “Sebaik menerima panggilan kecemasan daripada angota polis bantuan itu, sepasukan polis bersama unit pengesan anjing (K9) dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Sukri berkata, unit pemusnah bom tiba di lokasi kejadian kira-kira 12 tengah malam untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

“Kotak itu dimusnahkan oleh unit pemusnah bom pada 1.50 pagi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kotak itu tidak mengandungi sebarang bahan letupan.

“Kami masih lagi membuat siasatan berhubung isi kandungan dalam kotak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti individu yang meletakkan kotak berkenaan di lokasi terbabit.

“Kami akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian bagi mengesan individu yang meletakkan kotak berkenaan,” katanya.

sumber : hmetro

Kongsi pendapat anda