ADAKAH FAM MEMBANTU BOLA SEPAK MALAYSIA?

Sebagai badan induk bola sepak Malaysia, salah satu peranan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah untuk melindungi aset mereka, termasuk pemain dan ahli gabungan. Walaubagaimanapun, daripada memainkan peranan untuk menjaga kebajikan, mereka dalam masa sama telah menggunakan kuasa yang diberi dengan sewenang-wenangnya ke atas pihak yang lemah.

Gary Steven Robbat adalah pemain yang hebat. Namun demikian, meskipun merupakan seorang pemain kebangsaan, beliau telah diharamkan oleh FAM untuk menyertai semua aktiviti berkaitan bola sepak selama tiga bulan. Bukan sahaja mengharamkan beliau bekerja dan mencari pendapatan untuk keluarganya, mereka juga telah mengharamkan beliau daripada menyertai latihan, yang merupakan pelanggaran yang jelas tentang hak asasi manusia dan berpotensi merosakkan kerjaya salah satu bakat muda yang berbakat di Malaysia. Liga Malaysia kini berkembang maju dan popularitinya semakin meningkat, tetapi layanan buruk mereka terhadap kerjaya Gary telah secara tidak langsung mencerminkan pendirian FAM mengenai masa depan bola sepak Malaysia.

tmj

Berdasarkan perjanjian komersial dan penyiaran baru mereka bersama MP & Silva, FAM akan menerima RM1.26 bilion dalam tempoh 15 tahun yang jika ditaksirkan lebih kurang RM84 juta setiap tahun secara purata. Dengan 30% diperuntukkan kepada pasukan-pasukan dalam liga, ianya memberi maksud kurang daripada RM1 juta setahun diberikan kepada setiap pasukan untuk digunakan bagi mempertingkatkan keupayaan pasukan, membina kemudahan bola sepak yang baru, membangunkan program-program pembangunan di peringkat akar umbi dan sebagainya. Sementara itu, FAM sahaja akan mendapat RM17 juta setahun untuk menampung perjalanan liga. Selain itu, FAM juga akan menikmati sejumlah RM33.5 juta setiap tahun untuk perbelanjaan lain. Persoalannya ialah mengapa FAM menikmati bahagian yang lebih besar berbanding dengan kelab-kelab dan persatuan-persatuan di dalam liga? Seandainya kelab dan persatuan menderita dari segi kewangan, liga seterusnya pasti akan terjejas.

Pendapatan penyiaran sepatutnya perlu dikongsi bersama antara pasukan yang mengambil bahagian dan bukannya untuk perbelanjaan pelbagai oleh FAM. Setiap pelaburan pasukan yang mengambil bahagian dalam liga mampu membuatkan liga lebih menarik dan tiada keraguan bahawa lebih ramai penyokong mengikuti bola sepak tempatan berbanding 3-4 tahun yang lalu. Seperti yang kita semua sedia maklum, hasil penyiaran telah meningkat dengan pesat sejak 3 tahun yang lalu dan ini adalah disebabkan oleh pasukan-pasukan yang mengambil bahagian. Pasukan telah berhabis banyak untuk infrastruktur, pemain berkualiti, menandatangani pemain import yang ternama dan pembangunan belia. Oleh itu, saya berpendapat bahawa lebih banyak peruntukan perlu diberikan kepada pasukan yang mengambil bahagian dan menuntut FAM untuk telus dan berlaku jujur dengan setiap perancangan mereka berkaitan dana yang telah diperuntukkan kepada mereka.

Saya ingin bekerjasama dengan sebuah organisasi yang telus, bersih, jujur dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan bola sepak tempatan dan oleh itu saya berharap FAM akan lebih telus dan profesional demi pembangunan bolasepak negara.

DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Kongsi pendapat anda