Apple Nafi iCloud Diceroboh

SEMINGGU sebelum firma teknologi, Apple Inc (Apple) merancang untuk memperkenalkan model baharu iPhone, syarikat itu sedang berusaha untuk mengekalkan reputasi melindungi pengguna susulan kebocoran gambar bogel selebriti menerusi perkhidmatan dalam taliannya.

Apple menafikan bahawa sistem dalam taliannya diceroboh, sekaligus menambah misteri bagaimana gambar peribadi itu bocor ke internet. Menurut Apple, beberapa akaun selebriti dibocori oleh “serangan yang disasarkan kepada nama pengguna, kata laluan dan soalan keselamatan.”

Selasa depan, Apple dijangka mengumumkan versi terkini iPhone dengan ciri baharu yang akan meningkatkan jumlah penyimpanan maklumat peribadi dan berharga dengan syarikat itu.

icloud apple

Apple menyatakan perisian baharu iPhone akan dilengkapi cara untuk mengumpul dan berkongsi data berkaitan kesihatan. Ciri baharu lain dijangka membolehkan pengguna membayar barangan dengan iPhone menggunakan kad kredit yang disimpan di iTunes.

Apple hari ini mengambil langkah untuk menangani laporan yang muncul hujung minggu lalu bahawa kebocoran gambar berkenaan boleh berpunca daripada kelemahan dalam perkhidmatan simpanan dalam taliannya, iCloud yang membenarkan penggodam mencuba kata laluan tanpa had sehingga berjaya.

Apple menegaskan terdapat had kata laluan yang boleh dimasukkan setiap pengguna iCloud sebelum sistem mengunci akaun berkenaan. Bagaimanapun, syarikat itu enggan menyatakan jumlah sebenar percubaan salah yang akan menyebabkan akaun dikunci.

“Tiada kes yang disiasat berpunca daripada sebarang pencerobohan sistem Apple termasuk iCloud. Kami akan terus bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang bagi membantu mengenal pasti penjenayah yang terbabit,” menurut Apple dalam kenyataannya.
 

Kongsi pendapat anda