Astro, Pinewood Jalin Kerjasama Terbit Rancangan TV Bertaraf Dunia

UNIT milik penuh Astro Malaysia Holdings Bhd, Astro Production Sdn Bhd (APSB) akan menjalinkan kerjasama dengan Iskandar Malaysia Studio Sdn Bhd (IMS) untuk menawarkan perkhidmatan penerbitan kandungan televisyen bertaraf dunia di Pinewood Iskandar Malaysia Studios (PIMS).

Menerusi perjanjian lima tahun itu, PIMS dilantik menjadi pembekal eksklusif kelengkapan dan perkhidmatan bagi penerbitan kandungan televisyen di dua studio televisyen definisi tinggi (HD) yang dimilikinya, kata Pinewood dalam satu kenyataan.

pinewood studios

Sebagai balasan, APSB komited untuk melaksanakan minimum 4,500 jam penerbitan setahun di PIMS dalam dua tahun pertama dan 3,000 jam penerbitan setahun mulai tahun ketiga,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro), Datuk Rohana Rozhan, percaya kerjasama itu akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan impian menjadikan Malaysia kuasa industri kreatif yang disegani di peringkat global.

Kerjasama ini dilihat sebagai salah satu media untuk menyatukan PIMS dengan kerajaan, barisan bakat tanah air, penerbitan tempatan serta global, rangkaian global dan Astro dengan tujuan sama iaitu membekalkan penerbitan televisyen yang cemerlang,” katanya pada upacara menandatangani perjanjian itu.

Upacara itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, di sini pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif PIMS, Rezal A. Rahman, berkata, kerjasama itu akan memberikan peluang kepada penerbit tempatan dan serantau untuk membangunkan kemudahan penerbitan bertaraf dunia.

Menurut beliau, PIMS menyasarkan untuk memacu pembangunan sebuah ekosistem kreatif yang sesuai dan komited menyokong perkembangan kandungan kreatif untuk meningkatkan kemahiran bakat dalam industri ini di Iskandar Malaysia.

Kerjasama itu akan menjamin perkhidmatan penerbitan penuh yang merangkumi multikamera, kamera definisi tinggi, sistem pencahayaan dan bunyi yang canggih serta trak penyiaran luar yang terkini.

Kami berupaya untuk membekalkan penerbitan berkualiti tinggi bagi penerbit serantau dan antarabangsa,” tegasnya.
 

Kongsi pendapat anda