Biodata Charles Suresh Morais

Siapa sebenarnya Charles Suresh Morais? Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat yang tidak lansung dikenali oleh orang biasa di Malaysia. Tetapi selepas beliau mendedahkan akuan sumpah berkanun (SD) berhubung kematian abangnya, Kevin Anthony Morais, nama tokoh perniagaan yang berkecimpung dalam industri perhotelan itu menjadi sebutan.

Charles adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kronos Hotels and Resorts. Beliau mula membeli hotel-hotel di Amerika Syarikat sejak 1999. Pada tahun 2007, Bernama melaporkan bahawa rangkaian hotel Charles yang berpangkalan di Atlanta pada Jun 2006, membeli portfolio 16 hotel dengan 3,100 bilik.

Rangkaian itu memiliki 26 hotel di bawah jenamanya dan pada tahun yang sama mengumumkan rancangan untuk mengambil alih 12 lagi hotel di luar Amerika Syarikat termasuk dua hotel di Malaysia. Antara hotel di bawah rangkaian Kronos termasuk Crowne Plaza, Holiday Inn, Wyndham Hotels and Resorts and Choice Hotels International.

Charles Suresh Morais

Walau bagaimanapun, ia dilanda masalah kewangan pada tahun 2008. Satu laporan oleh akhbar St Louis Post pada tahun 2008 menyatakan Morais ditangkap oleh polis pada bulan Ogos dan menghadapi perintah ekstradisi ke Arkansas kerana penipuan berhubung ‘cek tendang’.

Sebulan kemudian, perbicaraan ekstradisi diadakan dan menurut pejabat sheriff, beliau berjaya menyelesaikan dakwaan itu dengan pejabat peguam negara Pope County.

Di seluruh Amerika Syarikat, beberapa hotel Kronos menghadapi pelbagai tuduhan daripada kerajaan tempatan kerana tidak membayar cukai bilik tidur dan berhubung cek gaji pekerja yang ‘tendang’.

Tiga tahun kemudian, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa Charles telah kehilangan 11 hartanahnya kerana kegagalan membuat pembayaran.

Pejabat Peguam Negara Pennsylvania juga memfailkan tuduhan jenayah terhadapnya dan pemilik bersama Sunil Mir dengan masing-masing menghadapi 26 pertuduhan yang dikaitkan dengan dakwaan gagal melunaskan bayaran cukai jualan bernilai AS$310,849 dan cukai pegangan sebanyak AS$37,020.

WSJ juga melaporkan bahawa kedua-duanya hampir kehilangan JFK Plaza Hotel yang dianggap sebagai permata dalam rangkaian empayar hotel mereka. Bagaimanapun, sumber yang rapat dengannya mendakwa bahawa masalah kewangan dan tindakan undang-undang terhadapnya telah lalu.

“Kebankrapan adalah pada 2008 selepas krisis kewangan (subprime mortgage) seperti yang dihadapi setiap ahli perniagaan lain. Tetapi dia (berjaya) bangkit semula. Dia kembali ke dunia perniagaan dan sedang melakukannya dengan baik.

“Buat masa ini, dia sedang berunding bagi pembelian enam buah hotel di Malaysia,” katanya.

Menurut semakan dengan Public Access to Court Electronic Records (Pacer) di Amerika Syarikat, kes-kes yang disebut dalam laporan sebelum ini juga tidak lagi aktif.

Kongsi pendapat anda