Chong Wei Kempunan Kejuaraan Dunia

Kemarau kejuaraan dunia sulung terus menghantui jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei selepas beliau gagal dalam percubaan kali ketiga pada Kejohanan Dunia BWF 2014 di Copenhagen.

Kesilapan di jaring selain hantaran yang kerap keluar daripada Chong Wei nyata memberi peluang kepada lawannya, Chen Long dari China untuk memenangi gelaran juara dunia dengan keputusan 21-19 dan 21-19 di Ballerup Super Arena.

BWF 2014 winner

Kemenangan tersebut membolehkan pemain nombor dua dunia itu muncul juara dunia buat kali pertama selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada 2011 di England selain kalah kepada rakan sepasukan, Lin Dan pada saingan suku akhir, dua tahun kemudian di laman sendiri.

Chong Wei pula pernah mara ke final pada dua edisi berkenaan namun disekat oleh musuh tradisinya, Lin Dan.

Pada 2011, beliau kalah kepada Lin Dan dalam aksi tiga-set; 22-20, 14-21 dan 21-23 manakala pada 2013, kekejangan otot yang dialaminya pada set penentuan ketika berdepan pemain sama, meranapkan impiannya meraih kejuaraan dunia pertama.

Kongsi pendapat anda