Dagangan Malaysia kekal kukuh kepada RM118.60 bilion

Jumlah dagangan Malaysia pada Julai 2014 kekal kukuh kepada RM118.60 bilion daripada RM118.59 bilion yang dicatatkan pada bulan sama tahun lalu manakala lebihan dagangan pula sebanyak RM3.64 bilion.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, eksport pada Julai bertambah 0.6 peratus daripada RM61.12 bilion pada tahun sebelumnya sementara import pula susut 0.7 peratus kepada RM57.48 bilion.

menara klcc

Katanya, peningkatan dalam perdagangan dicatatkan dengan Singapura naik RM1.41 bilion, Australia (RM775.4 juta), Taiwan (RM763.5 juta), Kuwait (RM577.2 juta), Hong Kong (RM529.6 juta), Filipina (RM479.2 juta), Arab Saudi (RM361.3 juta) dan Amerika Syarikat (RM291.6 juta).

“Bagi tempoh tujuh bulan, jumlah dagangan Malaysia meningkat sebanyak 8.4 peratus kepada RM834.05 bilion daripada tempoh sama pada 2013 manakala lebihan dagangan melonjak 76.6 peratus kepada RM48.45 bilion.

“Eksport naik 10.7 peratus kepada RM441.25 bilion manakala import mengembang sebanyak 5.8 peratus kepada RM392.8 bilion,” katanya menerusi laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia di sini hari ini.

Kongsi pendapat anda