Dr Vida kena amaran

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Penasihat Kehormat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Datuk Seri Dr Hasmiza Othman (gambar) diberi amaran agar mematuhi peraturan ketika berada di kawasan teknikal. Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam berkata, beberapa peraturan perlu dipatuhi ketika berada di bangku simpanan, termasuk memakai pakaian berbeza daripada pemain beraksi di padang.

“Beliau perlu mematuhi peraturan di kawasan teknikal seperti mengelak daripada menggunakan telefon bimbit, pakaian tidak boleh sama dengan yang dipakai pemain di padang. “Itu sebab pemain yang berada di bangku simpanan memakai bib agar tidak sama dengan rakan sepasukan yang sedang beraksi.

“Selain itu, beliau tidak boleh meninggalkan kawasan teknikal untuk bertemu penyokong dan perkara seumpama itu. Ia adalah peraturan biasa dalam bola sepak yang perlu dipatuhi,” katanya. Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida juga dikatakan berselfie bersama pemain di kawasan teknikal. Kevin menegaskan Hasmiza mungkin tidak dibenarkan memasuki kawasan teknikal jika terus melanggar peraturan tersebut.

“Jika peraturan itu tidak dipatuhi, kami tiada pilihan bagi memastikan tiada sesiapa melanggar peraturan. Kami memang inginkan sesuatu yang menghiburkan tapi tidak sampai ke tahap ini yang menjejaskan peraturan,” katanya. Kevin berkata, Dr Vida dibenarkan memasuki kawasan teknikal menerusi pendaftaran oleh KAFA sebagai pegawai pasukan dan FMLLP selaku entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia (Liga M) sejak awal musim ini, akur berdasarkan peraturan itu. – Bernama

Kongsi pendapat anda