Gaza terus diserang Israel

GAZA CITY  – Sekurang-kurangnya 16 lagi penduduk Palestin terbunuh termasuk pegawai kewangan Hamas apabila Israel bertindak melancarkan lebih 30 serangan udara ke atas Gaza sejak tengah malam 25 Ogos.

Pasukan perubatan Palestin mengesahkan pegawai kewangan Hamas, Mohammed al-Ghul terbunuh dalam serangan itu ketika beliau sedang memandu di Gaza City.

Selain al-Ghul, enam kanak-kanak antara mangsa yang terkorban apabila tentera rejim Zionis meningkatkan serangan ke atas Gaza sebagai usaha menghapuskan Hamas, dengan serangan udara Israel tertumpu di kawasan utara Gaza.

Kepulan asap kelihatan sekitar serangan di gaza

Dengan angka terbaharu itu, jumlah korban penduduk Palestin dalam serangan Israel di Gaza meningkat kepada 2,112 orang, ketika ekonomi Gaza memerlukan masa lebih tiga tahun untuk pulih semula, ekoran kemusnahan teruk dalam sektor perindustrian, perladangan dan peningkatan kadar pengangguran.

Tiga penduduk Yahudi turut dilaporkan cedera apabila pejuang Palestin melepaskan tembakan di kawasan sempadan Israel-Gaza di Erez.

Menurut laporan portal BBC, lebih 360 kilang dilaporkan musnah atau rosak teruk dan beribu-ribu ekar tanah pertanian terjejas akibat serangan udara, bedilan meriam dan kereta kebal tentera rejim Zionis Israel sejak operasi ketenteraan dilancarkan ke atas Gaza bermula 8 Julai lalu.

Penganalisis ekonomi yang beribu pejabat di Gaza, Omar Shaban berkata, anggaran awal kemusnahan ekonomi akibat perang di Gaza menunjukkan peningkatan tiga kali ganda berbanding konflik Hamas-Israel pada 2008-9.

Kongsi pendapat anda