Geng 36 Dalang Pembunuhan?

Kumpulan kongsi gelap, Geng 36 dikatakan sebagai dalang pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Shaharuddin Ibrahim pada tahun lalu. Memetik laporan sumber, Utusan Malaysia berkata Shaharuddin ditembak kerana kumpulan tersebut membalas dendam.

“Mereka ini juga pernah terlibat dengan pelbagai kes lain, termasuk kes tembak dan samun.

“Jadi mungkin disebabkan dendam kerana dadah yang diseludup dirampas di pelabuhan atau lapangan terbang, maka mereka jadikan Shaharuddin sebagai sasaran,” kata Utusan Malaysia memetik pendedahan sumber.

Shaharuddin mati ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, ketika kereta yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan, kira-kira 8.15 pagi. Baru-baru ini, suspek utama kes pembunuhan itu berjaya diberkas polis di sebuah rumah di Ampang, Selangor.

Kes Bunuh Kastam

Polis turut menahan tiga lagi rakan suspek dalam serbuan lain di Batu Caves, Selangor dan kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya serta ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut. Bagaimanapun, anak Shaharuddin tahun lalu mendedahkan pembunuhan bapanya mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta berpangkalan di pulau bebas cukai Langkawi.

Anak beliau juga menyatakan kekesalan ke atas layanan diberikan polis terhadap kes bapanya dianggap tidak adil walaupun bapanya merupakan pegawai tinggi kerajaan yang banyak menyumbang kepada negara.

Masuk hampir setahun pembunuhan Shaharuddin, sehingga kini masih belum ada pihak yang dibawa ke muka pengadilan

Kongsi pendapat anda