Isu MB: Lajnah politik PAS mesyuarat Khamis ini

Lajnah Politik PAS Pusat akan bermesyuarat pada Khamis ini bagi membincangkan isu Menteri Besar Selangor yang sedang mendapat perhatian semua pihak ketika ini.Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut Mustafa, mesyuarat tersebut akan diadakan pada sebelah malam di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut. “Lajnah politik akan mesyuarat dahulu pada 14 Ogos ini untuk bincang isu MB,” kata beliau.

Mustafa Ali

Majlis Syura Ulamak PAS tetap bersama Khalid Ibrahim

Keputusan mesyuarat lajnah politik pada kebiasaannya akan dibawa kepada mesyuarat PAS Pusat. Mesyuarat PAS Pusat pula telah ditetapkan pada 17 Ogos ini bagi membincangkan isu Menteri Besar Selangor tersebut.

Semalam, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung isu Menteri Besar Selangor.

Pertemuan yang berlangsung di sebuah hotel di Terengganu itu turut dihadiri Mustafa sendiri, Setiausaha Politik Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.

– HARAKAHDAILY 12/8/2014

Kongsi pendapat anda