JAIK : Tabur Bunga di Kubur Perbuatan Yahudi dan Kristian

Umat Islam yang menziarahi tanah perkuburan sempena Aidilfitri diingatkan supaya tidak menabur bunga di kuburan kerana ia amalan Yahudi dan Kristian. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah di Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Sheikh Ahmad Faisol Omar berkata perbuatan itu menyalahi ajaran Islam.

Beliau mengingatkan demikian dalam tazkirahnya pada Program Percambahan Ilmu anjuran bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahagian Perlis, Pejabat Setiausaha Kerajaan Perlis dan Hotel Putra Palace di Kangar.

Bunga di Kubur

Beliau seterusnya mengingatkan umat Islam agar banyak mengisi masa bulan Ramadan dengan membaca al-Quran untuk memperoleh ketenangan dan benteng menahan nafsu dan godaan iblis.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan kaum wanita Islam supaya menjaga adab berpakaian terutama pada Ramadan yang penuh dengan cabaran dan godaan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-65 yang bersidang pada 13 Oct 2004 telah membincangkan Hukum Amalan Membawa Bunga Ketika Menziarahi Kubur. Muzakarah telah memutuskan bahawa amalan membawa bunga ketika menziarahi kubur adalah tidak digalakkan dari perspektif agama.

Dapat dirumuskan bahawa amalan membawa bunga dan menabur bunga di kubur tidak menepati ajaran Islam dan tidak mempunyai dalil yang sahih daripada hadis-hadis Nabi SAW.

Begitu juga dengan amalan mencurah air tahlil di kubur yang kita ziarahi, amalan ini juga tidak mempunyai sandaran yang kukuh mahupun dalil yang sahih. Oleh itu adalah menjadi satu kewajaran bagi umat Islam untuk menghafal bacaan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya semasa menziarahi kubur.

Bacaan itu ialah, “Assalamu alaikum ahlad diyar minal mukminin wal muslimin. Wa inna insyaAllahu lalahiqun. As’alullaha lana wa lakumul ‘afiah.” (Hadis riwayat al-Imam Muslim. No. 975)

Kongsi pendapat anda