“JANGAN GANGGU WANITA DALAM VIDEO ITU” – DYMM SULTAN JOHOR

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menitahkan orang ramai agar tidak mengganggu wanita yang didakwa cuba memeluk dan mencium Baginda ketika konvoi DiRaja singgah di Bandar Baru Ayer Hitam sempena program Kembara Mahkota Johor 2017 pada Isnin lalu (11 September).

Tuanku Sultan Ibrahim menegaskan bahawa wanita itu tidak mencium Baginda dan perkara ini jelas sebagaimana dalam rakaman video.

“Beliau cuba berkata sesuatu di telinga kiri saya tetapi saya tidak dapat mendengar kerana keadaan persekitaran yang bising,” titah Tuanku Sultan kepada Royal Press Office di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada hari ini (14 September).

Sultan Ibrahim bertitah wanita itu tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah dan meminta polis supaya lebih bijaksana dalam mengendalikan kes ini.

Kejadian pada jam 8.45 pagi itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah restoran makanan segera ketika Sultan Ibrahim berangkat tiba di Taman Medan Putra, Ayer Hitam sempena program Kembara Mahkota Johor 2017.

Wanita itu didakwa memeluk bahu kanan dan cuba mencium pipi kiri Tuanku Sultan, sebelum ditahan pihak polis untuk diambil keterangan berhubung tindakannya dan siasatan masih dijalankan.

sumber :  Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Kongsi pendapat anda