JDT juara Piala Sultan Ahmad Shah 2015

Johor Darul Ta’azim (JDT) melaungkan amaran awal pada kempen Liga Malaysia 2015 apabila mengalahkan Pahang 2-0 untuk menjuari Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2015 dalam perlawanan sumbangsih di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam ini.

JDT mengakhiri kemarau piala tersebut selama 29 tahun menerusi jaringan pemain import dari Brazil, Marcos Antonio Elias Santos pada minit ke-37 dan Luciano Gabriel Figueroa, pemain import dari Argentina, pada minit ke-58. Jaringan dua pemain import pasukan Juara Liga Super musim lepas itu sudah cukup untuk mencalar rekod tanpa kalah Pahang sepanjang lima pertemuan antara mereka musim lepas.

JDT

 

Kemenangan tersebut juga membolehkan JDT mengutip tiga mata pertama untuk membuka tirai Liga Super musim ini. Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 25,000 penonton, JDT menguasai keseluruhan babak pertama dan berjaya melakukan beberapa cubaan menarik.

Skuad Harimau Selatan, yang dibimbing jurulatih Bojan Hodak, akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila Santos menanduk masuk bola sepakan sudut ke gawang Pahang. Masuk babak kedua, permainan lebih seimbang dengan kedua-dua pasukan saling membalas serangan. Bagaimanapun, JDT berjaya mengukuhkan kedudukan apabila Figueroa menanduk cantik sepakan sudut oleh kapten Safiq Rahim untuk mengesahkan kemenangan.

Kongsi pendapat anda