Jutawan Sewol Ditemui Reput

Polis Korea Selatan dipercayai menemui mayat jutawan yang dikehendaki sejak beberapa bulan lalu berikutan tragedi feri Sewol yang meragut 300 nyawa, April lalu.

Jika mayat itu seperti yang dijangka, ia akan menamatkan pemburuan untuk mencari jutawan, Yoo Byung-Eun, 73, yang keluarganya memiliki syarikat yang mengendalikan feri Sewol, Chonghaejin Marine Co.

Yoo Byung-Eun

Yoo Byung-Eun pemilik feri Sewol, Chonghaejin Marine Co.

Mayat yang sudah reput itu dijumpai dalam keadaan terbaring dan berpakaian jaket musim sejuk serta topi pada 12 Jun lalu di sebuah ladang plum di Suncheon, kira-kira 300 kilometer di selatan Seoul.

Bagaimanapun, setakat ini, polis belum menemui sebarang petanda yang menunjukkan punca kematian.

Keadaan reputnya teruk hinggakan pihak polis perlu menjalani ujian DNA bagi mengesahkan identitinya, lapor agensi berita Yonhap.

Ujian DNA yang dipadankan dengan abang Yoo menjurus kepada keyakinan bahawa mayat itu adalah jutawan terbabit.

Mayat itu dibawa ke Seoul untuk ujian lanjut forensik. Jutawan itu melarikan diri selepas feri Sewol tenggelam pada 16 April lalu dengan 476 penumpang, termasuk 325 pelajar sekolah.

Jumlah kematian yang disahkan ialah 294 orang, dan 10 mangsa lagi masih belum dijumpai.

Kapten feri itu dan 14 anggota krunya kini sedang menghadapi perbicaraan mahkamah. Satu perintah saman dikenakan ke atas Yoo selepas kejadian itu, tetapi dia enggan menyerah diri kepada polis dan melarikan diri.

Kongsi pendapat anda