Kelebihan Solat

Sayyidina ‘Abdullah bin Mas’ud RA berkata Rasulullah s.a.w bersabda :

“Menjelang setiap waktu solat satu malaikat penyeru akan dihantar untuk menyeru, “wahai anak Adam, bangun dan padamkanlah api yang kamu telah nyalakan untuk membakar dirimu sendiri.” Maka mereka pun bangun berwuduk dan mengerjakan solat zuhur. Maka dosa yang dilakukan oleh mereka antara solat fajar dan zuhur diampunkan. Demikian juga keadaannya menjelang waktu asar, maghrib dan isyak. Kemudian pada waktu malam yang gelap itu sesetengah orang menuju ke arah mengerjakan amal kebaikan dan sesetengah orang pula ke arah melakukan kejahatan.”(Hadith riwayat Tabarani)

Apa yang kita dapat simpulkan daripada hadith ini ialah dengan solat Allah s.w.t dengan limpah kurniaNya akan mengampunkan dosa. Banyak kenyataan seumpama ini didapati dalam kitab-kitab hadith.

Oleh kerana istighfar memang terdapat dalam solat maka segala bentuk dosa, sama ada dosa kecil atau dosa besar termasuk dalam pengampunan seperti yang disebut tadi.

Firman Allah dalam surah Hud : 114

“Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada ketika yang berhampiran dengan waktu malam. Sesungguhnya amalan-amalan kebaikan (terutama solat) akan menghapuskan kejahatan.”

solat-malam-tahjud

Saidina Salman RA ialah seorang sahabat yang masyhur. Beliau berkata “Setelah selesai solat isyak manusia terbahagi kepada tiga golongan” :

  1. Golongan yang waktu malam merupakan sumber nikmat, keuntungan dan kebaikan bagi mereka. Mereka ialah orang yang menghargai kelapangan waktu malam. Ketika orang lain sibuk berehat dan tidur, mereka pula sibuk dengan mengerjakan solat.
  2. Golongan yang waktu malam menjadi sumber azab dan bala untuk mereka. Mereka ini golongan yang mengambil kesempatan daripada kesunyian malam untuk melakukan dosa.
  3. Golongan yang rugi tidak, untung tidak. Mereka ini golongan yang terus tidur setelah melakukan solat isyak.

Semoga bermanfaat.

Kongsi pendapat anda