Kertas Sains UPSR bocor, Tangguh ke 30 September

Kertas peperiksaan Sains bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijadualkan esok ditangguhkan ke 30 September berikutan soalan peperiksaan bocor. Ia disahkan Kementerian Pendidikan menurut satu kenyataan dikeluarkan Lembaga Peperiksaan (LP) petang ini.

Menurut Pengarah Peperiksaan LP, pihaknya menerima laporan yang kertas Sains dengan kod 018, 028 dan 038 yang dijadualkan berlangsung esok jam 8.15 pagi hingga 9.30 pagi didapati bocor.

“Berdasarkan siasatan awal pihak LP, kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut tersebar menerusi media sosial. LP membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” Lembaga Peperiksaan.

kertas sains UPSR 2014

Tahun ini terdapat 472,853 pelajar Tahun Enam menduduki UPSR seluruh negara. Ia bermula semalam dan dijadualkan berakhir esok.

Mengulas kejadian itu, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh menulis di akaun Twitternya: “Saya memohon maaf kepada pelajar tahun 6 atas kebocoran kertas Sains UPSR.”

Kebocoran kertas soalan dalam peperiksaan utama dilaporkan berlaku hampir setiap tahun kebelakangan ini.

Kongsi pendapat anda