Lelaki Tertinggi Meninggal Dunia pada Usia 44 Tahun

LELAKI yang dipercayai paling tinggi di dunia meninggal dunia semalam pada usia 44 tahun. Leonid Stadnyk, yang dikatakan terlalu ‘pemalu’ sehingga enggan diukur untuk membolehkannya direkodkan dalam buku rekod dunia Guinness dipercayai 21 inci lebih tinggi daripada bekas pemain bola sepak England Peter Crouch.

Petani yang berasal dari perkampungan Podoliansty, Ukraine, dilaporkan meninggal dunia disebabkan pendarahan otak akibat masalah kesihatan berlanjutan.

Leonid Stadnyk, lelaki tertinggi di dunia

Stadnyk pernah dilaporkan berkata: “Pada saya, ketinggian luar biasa ini satu sumpahan, hukuman daripada Tuhan. Ia bukannya sesuatu yang patut dibanggakan. Saya tidak tahu apa dosa dilakukan sehingga dihukum sebegini. Sepanjang hidup ini saya hanya mahu menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Saya tidak mahu terkenal disebabkan ketinggian luar biasa ini dan tidak ingin direkodkan dalam buku rekod Guinness,” katanya.

Malah, dia juga tidak pernah berkahwin kerana bimbang membawa kesusahan kepada pasangannya.

lelaki tertinggi dunia bersama telefon bimbitnya

Ketinggian Luar Biasa

Stadnyk mula menunjukkan ketinggian luar biasa pada usia 12 tahun apabila ketumbuhan tidak berbahaya dalam otaknya mengakibatkan badannya mengeluarkan hormon pembesaran berlebihan.

Pada satu masa, keadaan dihidapinya itu yang dikenali sebagai ‘giganticism’ menyebabkan dia membesar hampir satu kaki setiap tiga tahun.

Dia juga memakai kasut bersaiz 27 (mengikut ukuran United Kingdom) disebabkan kakinya berukuran hampir 18 inci manakala tapak tangannya mempunyai ukur lilit lebih sekaki.

kasut milik lelaki tertinggi di dunia

Jurucakap Guinness berkata, pihaknya memutuskan untuk menyenaraikan warga China Xi Shin sebagai lelaki tertinggi dunia pada ketinggian hampir 7 kaki 9 inci disebabkan keengganan Stadnyk memberikan kerjasama.
 

Kongsi pendapat anda