MB baru Selangor angkat sumpah Selasa ini

Menteri besar baru Selangor akan mengangkat sumpah pada jam 10 pagi Selasa depan di Istana Alam Shah, Klang.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani. Difahamkan, kad undangan untuk upacara itu dilapor sudah dihantar kepada pemimpin-pemimpin negeri, wakil rakyat dan orang-orang kenamaan.

mb baru selangor

Menurut Mohamad Munir lagi, pilihan menteri besar baru itu akan didedahkan kemudian dan keputusan akhir telah dibuat. Beliau ketika dihubungi bagaimanapun enggan mendedahkan menteri besar baru itu daripada parti mana.

Istiadat itu difahamkan akan diadakan di Balairong Seri istana dan tetamu undangan dikehendaki memakai pakaian kebangsaan dan bersongkok hitam. Bernama melaporkan, mereka difahamkan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa Azmin Ali calon yang bakal mengangkat sumpah jawatan tertinggi pentadbiran negeri Selangor itu.

Namun, lapor agensi berita nasional, ketika diminta mengulas perkara itu,  Munir enggan mengesahkannya.

Nama-nama dilihat berpotensi setakat ini termasuk Azmin, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok daripada PKR Ijok Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad dan ADUN PAS Sijangkang Yunus Hairi.

Kongsi pendapat anda