Media Dilarang Lapor Kes Awie Luar Mahkamah

Mahkamah Majistret pada hari Isnin mengeluarkan perintah bagi menghalang mana-mana pihak termasuk media membincangkan atau menyebarkan gambar mengenai kes ke atas penyanyi Awie yang didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Rozana Misbun pada 2 Jun lalu.

awie pukul isteri

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membuat keputusan tersebut selepas mendengar permohonan peguam bela Awie iaitu Hazman Harun dan Aimizaizul Amran yang memberi alasan perbincangan yang tidak berasaskan fakta mengenai kes itu mampu merosakkan reputasi anak guamnya.

Ayuni Izzaty bagaimanapun tidak menghalang pihak media daripada melaporkan kes berkenaan yang dibicarakan di dalam mahkamah agar tidak berlaku percanggahan fakta.

Mengikut pertuduhan, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Rozana pada 2 Jun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana Hulu Kelang di sini.

Jika sabit kesalahan penyanyi itu boleh dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaaan. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.

Mahkamah menangguhkan kes berkenaan pada 23 September depan.

Kongsi pendapat anda