MH17 : Pembantu Juruterbang antara 16 Mayat Dikenal Pasti

Jenazah pembantu juruterbang Muhammad Firdaus Abdul Rahim adalah antara 16 mayat warga Malaysia terlibat dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang dikenal pasti dan akan dibawa pulang seawal-awalnya minggu depan.

Bapa saudara Muhammad Firdaus, Azman Ibrahim berkata pihak MAS memaklumkan perkembangan itu kepada ibu dan kakak mangsa yang menetap di Shah Alam, semalam namun masih belum diberikan tarikh sebenar jenazah akan tiba di Malaysia.

“Kami diberitahu jenazah mangsa dikenal pasti menerusi padanan DNA. Kami juga diberitahu keluarga akan dibawa ke Amsterdam untuk mengiringi jenazah balik ke Malaysia,” Azman Ibrahim

MH 17

Tambahnya walaupun keluarga masih bersedih dan tidak tahu keadaan jenazah mangsa, mereka lega kerana sekurang-kurangnya dapat menyempurnakan jenazah selain menunaikan hasratnya untuk disemadikan di sebelah kubur arwah ayahnya di Teluk Intan, Perak.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.

Kongsi pendapat anda