Moto E berharga RM400 dilancar 13 Ogos

SELEPAS mendapat sambutan memberangsangkan di India, United Kingdom, Brazil, Mexico, Sepanyol dan Kanada, Motorola kini secara rasminya bersedia untuk melancarkan telefon pintar terbaharunya bagi pasaran Malaysia yang dikenali sebagai Moto E berharga bawah RM400 dan dijual secara dalam talian secara eksklusif oleh Lazada, pusat beli-belah dalam talian terbesar di Asia.

Langkah memasarkan Moto E di laman web Lazada Malaysia diambil selepas kerjasama di antara Motorola dan sebuah laman web membeli belah atas talian, Flipkart India mampu menjual sebanyak satu juta telefon bimbit Motorola daripada tiga model dalam tempoh lima bulan.

Moto E dilancarkan di Malaysia pada 13 Ogos

Telefon pintar pertama selepas pengambilalihan Motorola oleh Lenovo itu hadir dengan skrin paparan qHD berukuran 4.3 inci berkepadatan piksel 256ppi dan disertakan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 3.

Moto E menggunakan sistem operasi Android 4.4 KitKat yang terbaharu di pasaran, bateri 1980mAh, pemproses ‘dual-core’ dilengkapi 1GB RAM dan memori dalaman sebanyak 4GB yang dapat dipertingkatkan sehingga 32GB.

Motorola Moto E menyokong dwi-SIM, rangkaian 3G, Wi-Fi 802.11n, Bluetooth, GPS dan mempunyai FM Radio. Dari segi kamera pula, Moto E dilengkapi kamera belakang 5MP. Bagaimanapun, kamera hadapan tidak disediakan.

Untuk membuat tempahan sila layari lazada.com.my pada 13 Ogos ini atau ‘like’ Facebook Lazada Malaysia untuk maklumat terkini.

Kongsi pendapat anda