Pencetus Ummah Musim Keempat 2016

Program realiti Islamik yang telah berjaya mencetuskan fenomenanya tersendiri di Malaysia, Pencetus Ummah kini kembali menemui peminat mulai 27 Oktober 2016 (Khamis) jam 9.00 malam di Astro Oasis (saluran 106) serta tayangan serentak di Maya HD (saluran 135). Pencetus Ummah musim ini menampilkan tema ‘Penyatuan’ bagi memberi peluang kepada para peserta program berusaha menggunakan pelbagai platfom yang ada untuk membawa mesej Islam dalam dakwah untuk menyatukan umat Islam di mana sahaja mereka berada.

Selama tiga musim, Pencetus Ummah telah pun melahirkan ramai pendakwah yang dilihat menjadi pelapis yang bagus dalam menyuburkan syiar dakwah Islamiah tanah air. Menjadikan Rasulullah SAW selaku suri tauladan, tentunya musim kali ini menjanjikan barisan peserta yang lebih baik untuk meneruskan perjuangan Baginda Muhammad SAW.

Rancangan yang memberi 70 peratus kuasa pemarkahan kepada para juri dan 30 peratus kepada penonton menerusi undian atas talian, Facebook ini akan menyaksikan penyingkiran peserta dengan markah terendah berlaku pada setiap akhir rancangan. 

peserta-pencetus-ummah-musim-4-dan-penaja

Bekas peserta Pencetus Ummah sendiri, PU Azman dan hos popular, Faizal Ismail (FBI) dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugas sebagai Pengacara Mimbar Pencetus Ummah. Penceramah terkenal, Dato’ Ustaz Badli Shah Alauddin akan menggalas tugas sebagai Mudir manakala pelakon terkenal tanahair, Ibu Fauziah Nawi akan bertindak selaku Guru Persembahan.

Pendakwah terkemuka, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali dengan nama Dr. Maza pula dipilih menjadi juri tetap di samping bekas penyampai radio serta pengacara popular, Fara Fauzana.

Pelakon jelita, Anis Al Idrus pula akan mengemudi program ‘Serambi Pencetus Ummah’ yang bakal memaparkan aktiviti serta proses pembelajaran yang dilalui para peserta sepanjang mereka berada di Pencetus Ummah.

Juara Pencetus Ummah musim keempat bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM 100,000.00 dan sebuah trofi. Manakala pemenang tempat kedua, akan membawa pulang wang tunai RM 30,000 berserta trofi dan tempat ketiga dan keempat masing-masing akan meraih wang tunai RM 20,000 dan RM 10,000.00 berserta trofi setiap seorang.

9-peserta-pencetus-ummah-ke-4

Pencetus Ummah turut meneruskan pendekatan media sosial dengan pelbagai aplikasi menarik untuk mendekati penonton dan peminat secara lebih dekat dengan dakwah yang disampaikan para peserta. Perkembangan terkini aktiviti para Pencetus Ummah boleh diikuti melalui Facebook: fan page rasmi Pencetus Ummah, akaun Twitter @Pencetus_Ummah dan Instagram MySalamMuslim.

Tidak terbatas dengan itu, informasi, gambar dan video menarik Pencetus Ummah juga boleh didapati melalui aplikasi ‘Salam Muslim’. Jangan lupa saksikan ‘Mimbar Pencetus Ummah 2016’ yang membawa nafas baru dalam dunia dakwah ini secara langsung mulai 27 Oktober 2015 (Khamis), jam 9.00 malam di Astro Oasis (saluran 106) serta tayangan serentak di Maya HD (saluran 135)

Kongsi pendapat anda