Penerbit filem hina Rasulullah masuk Islam

Arnaud Fandor penerbit filem Belanda yang memeluk Islam kira-kira setahun lalu, setelah mencetuskan kontroversi apabila menerbitkan filem yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. berasa tenang selepas dapat mengerjakan ibadat haji dan bertaubat di atas kesilapan.

Fandor yang bersedia untuk melontar di Jamrah bagi melengkapkan rukun hajinya, semasa diwawancara berkata beliau merasakan hatinya menjerit kegembiraan ketika menunaikan haji.

gambar Arnaud Fandor buat haji“Di dalam hati saya kini merasai ketenangan. Setiap kali saya berdoa saya akan mengelap air mata apabila mengenangkan dosa-dosa saya yang lalu dan bertaubat.

“Kini saya akan berkhidmat dan berusaha di dalam menghasilkan filem dan produk yang dapat menaikkan Islam serta yang mencerminkan kehebatan pencipta dan keperibadian akhlak mulia Rasulullah S.A.W. selepas pulang daripada haji,” beliau dipetik sebagai berkata dalam akhbar itu semalam.

Fandor menyatakan beliau merasakan satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan ketika menjejakkan kaki ke tanah suci. Air matanya tidak henti-henti mengalir, menurut akhbar itu.

“Pada mulanya, terdapat kesulitan yang dihadapi oleh saya pada peringkat awal saya memeluk Islam kerana saya bukan datang daripada keluarga Islam dan membesar di persekitaran Islam.

“Walau bagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat saya untuk belajar dengan lebih mendalam berkenaan agama yang agung ini.

“Saya berasa teruja untuk mendalami dan mengetahui tentang Islam. Lalu saya membaca banyak tentang Islam sehinggalah ia meresap ke dalam hati saya dan fikiran saya mengatakan bahawa agama Islam membawa satu mesej yang besar dan mulia.

“Kemudian perasaan tersebut semakin kuat sehingga hati saya terbuka lalu saya membuat keputusan untuk memeluk Islam. Sekarang saya bersyukur dan merasa amat bahagia serta memiliki ketenangan jiwa.

gambar Arnaud Fandor di Masjid Nabawi“Sebelum memeluk Islam, saya hanya membayangkan bahawa hidup ini hanya untuk menyedut udara sahaja.

“Saya dapati tidak ada ketenangan yang sempurna sehinggalah saya menziarahi makam Rasulullah S.A.W dan ketika itulah saya berhasrat untuk menerbitkan filem berkenaan keperibadian baginda yang mulia,” katanya.

Fandor berkata ini kali pertama beliau mengerjakan haji dan kali kedua menjejakkan kaki ke tanah suci selepas melakukan umrah pada Februari lepas.

Katanya selepas selesai menyempurnakan urusan haji, beliau bercadang meluangkan masa beberapa hari di Madinah al-Munawwarah kerana beliau berasa amat selesa dan aman untuk membaca al-Quran dan kitab-kitab agama di Masjid Nabawi.

Kongsi pendapat anda