Polis Siasat Jamal Yunos Pecah 100 Botol Arak Depan SUK Selangor

POLIS akan menyiasat Jamal Yunos berhubung tindakannya mengadakan tunjuk perasaan memecahkan botol arak di luar pagar pintu masuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata polis menerima laporan dan membuka kertas siasatan.

“Polis Shah Alam mengesahkan menerima laporan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media.

Shafien bagaimanapun tidak mengulas lanjut.

Jamal memberitahu The Malaysian Insight, beliau mahu menyerahkan botol-botol arak itu kepada Azmin dan exco-exco kerajaan negari untuk memberitahu mereka boleh “mabuk dalam pejabat tetapi jangan biar rakyat Negeri Selangor ini mabuk dengan pesta arak.”

Jamal bertindak memecahkan botol arak yang dibawa selepas tidak dibenarkan masuk ke kawasan SUK kerana pagar dikunci oleh pengawal.

Azmin sebelum ini berkata pentadbirannya tidak menghalang penganjuran acara yang memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan, termasuklah festival melibatkan pengambilan arak.

Katanya, penganjuran festival arak tidak harus dijadikan isu memandangkan acara berkenaan sudah beberapa tahun dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

Polis sebelum ini pula memaklumkan tidak akan meluluskan sebarang permit bagi penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang dekat sini, pada 12 dan 13 Oktober ini, kerana melibatkan arak.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebelum itu meluluskan penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman di daerah itu, tetapi melarang penganjur menggunakan perkataan “Oktoberfest”.

Yang Dipertua MPK, Mohamad Yasid Bidin dipetik berkata, penganjur juga perlu mematuhi beberapa syarat, termasuk melarang kemasukan umat Islam ke kawasan penganjuran acara itu dan perlu mendapat permit atau kelulusan dari pihak lain seperti pejabat tanah, Jabatan Kastam dan polis.

Jamal pernah mencetuskan kontroversi dan menarik perhatian umum ekoran siri protes yang beliau anjurkan di hadapan bangunan yang sama.

Pada akhir Disember tahun lalu, beliau datang ke perkarangan bangunan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar Selangor itu dengan memakai tuala sebagai protes krisis air di Selangor.

Pada Januari berikutnya, beliau menyusun 10 katil bujang dengan cadar bertulis DAP – Dapat Aiskrim Percuma – sebagai membantah aktiviti judi dan rumah urut di negeri itu.

Pada Mei seterusnya, beliau datang dengan sebuah bas membawa pengikut-pengikutnya yang berpakaian ala zombi untuk membantah apa yang didakwanya sebagai kemasukan pengundi hantu ke kawasan dewan undangan negeri Sekinchan.

Jamal sebelum ini juga menggerakkan penyokongnya untuk menggagalkan perhimpunan Bersih 5. Beliau juga terlibat menganjurkan protes di luar pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya pada tahun lalu sebagai membantah portal berita itu yang katanya ditaja dengan dana daripada George Soros. – 5 Oktober, 2017.

sumber : themalaysianinsight.com

Denaihati Network 发布于 2017年10月5日

Kongsi pendapat anda