RICOH Perkenal Mesin Pencetak Format Besar Pertama

PENGELUAR peralatan pejabat dan kamera, RICOH Malaysia Sdn Bhd telah memperkenalkan mesin pencetak format besar pertama, “RICOH Pro L4160” dan “RICOH Pro L4130” bagi memenuhi permintaan masa kini terutama industri percetakan serta pengiklanan. Kedua-dua model terbaharu itu menjadi taruhan syarikat berkenaan untuk mencapai sasaran pertumbuhan positif jualan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Peter Wee, berkata perubahan teknologi dan media yang semakin berkembang mendorong RICOH berasa optimis memperkenalkan satu lagi dimensi terbaharu menerusi pencetak keluarannya.

mesin cetak digital Ricoh

Wee (kanan) bersama Pengurus Besar Ricoh (Malaysia), Lee Choon Heng melancarkan mesin cetak digital Ricoh Pro L4160 di Gerai Pameran Ricoh Hall 2, PWTC Kuala Lumpur

Katanya, pencetak keluaran RICOH mencatatkan antara 19 hingga 20 peratus bahagian pasaran, sekaligus menjadi penyumbang kedua terbesar bagi jualan keseluruhan syarikat. Pihaknya menyasarkan jualan sekurang-kurangnya dua hingga tiga unit pencetak terbaharu itu setiap tahun di seluruh negara.

“Kita menumpukan jualan terutama kepada syarikat pencetak utama dan syarikat pengiklanan yang memerlukan hasil cetakan berkualiti serta berinovasi,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kedua-dua model berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.

 

Dakwat Tujuh Warna

RICOH Pro L4160 dan Pro L4130 memperkenalkan produktiviti percetakan berkualiti tinggi dengan menawarkan pilihan dakwat tujuh warna pelbagai konfigurasi selain mampu mengendalikan cetakan bersaiz sehingga 63.8 inci (Pro L4160) atau 54 inci (Pro L4130).

Dilengkapi multi-jet Piezo inkjet, generasi terbaharu itu ternyata lebih berkualiti tinggi dan mampu menghasilkan saiz cetakan berbeza mengikut penggredan yang ditentukan.

RICOH Pro L4160 ditawarkan pada harga RM95,000 manakala Pro L4130 berharga RM85,000, mengikut konfigurasi yang ditetapkan.

Sumber: Berita Harian

Kongsi pendapat anda