‘Ritual Semut’ Suku Kaum Asli Amazon Yang Menyakitkan

SATERE-MAWE, suku kaum asli di Amazon mempunyai adat ritual membiarkan diri digigit oleh semut Paraponera (dipanggil semut peluru atau bullet ant) yang merupakan adat warisan turun temurun oleh suku kaum itu yang mendiami kawasan hutan Amazon di Brazil.

Mereka yang melakukan ritual tersebut bersedia untuk digigit oleh ratusan semut peluru yang merupakan pra-syarat utama untuk melayakkan seseorang remaja lelaki dalam suku kaum itu diterima umum sebagai telah matang dan dewasa.

Ritual semut peluru

Ritual itu akan bermula dengan remaja lelaki yang memasuki usia matang disarungkan kedua-dua belah tangannya dengan sejenis sarung tangan khas yang dianyam. Di dalam sarung tangan itu serta di celah-celah barisan anyamannya akan diletakkan beratus ekor semut peluru.

Sebaik sahaja remaja berkenaan dipakaikan sarung khas itu, semut-semut tersebut akan segera menggigitnya. Si remaja mungkin terjerit, malah mungkin menggelupur sebab terlalu sakit. Lazimnya mereka akan bertahan kerana membuang sarung tangan itu bermakna gagallah mereka untuk menjadi lelaki sejati.

Bukan itu saja, malah pada masa akan datang mereka terpaksa melakukan ritual yang sama sekali lagi. Begitulah berulang-ulang kali sehingga mereka berjaya melepasi ujian tersebut tanpa menitiskan walau setitik pun air mata. Terdapat kes di mana ada individu yang terpaksa mengulangi ritual tersebut sebanyak 20 kali!

Satere Mawe ritual semut peluru

Mereka yang kental dan kuat semangat untuk menjadi lelaki akan bertahan. Mereka akan dipaksa bertarung dengan kesakitan akibat gigitan semut-semut peluru itu sekurang-kurangnya selama 10 minit. Dalam tempoh itu mereka tidak boleh mengaduh apatah lagi menitiskan air mata.

Sakitnya memang luar biasa. Ianya sama seperti kita memasukkan tangan ke dalam api,” kata seorang pemuda Satere-Mawe.

bullet ant ritual

Walau bagaimanapun, kesakitan sebenar bukanlah ketika memakai sarung tangan itu. Sebaliknya rasa sakit akan lebih terasa apabila sarung tangan dibuka. Bisa yang mengalir ke dalam setiap urat tangan akan mula memberikan kesan. Kesakitan yang teramat sangat akan dirasai dan memuncak dalam minit-minit seterusnya. Jari-jemari tangan akan terasa kaku dan keras seperti batu, malah lumpuh buat sementara waktu.

sarung tangan semut peluru

Ritual ini mungkin dianggap kuno dan primitif oleh khalayak moden. Tetapi lain halnya dengan puak Satere-Mawe. Bagi mereka ianya adalah salah satu cara mendidik anak-anak remaja mereka supaya menjadi orang dewasa yang mampu melindungi keluarga dan berani menghadapi pelbagai dugaan dalam kehidupan.

Di bawah adalah video yang menunjukkan bagaimana Hamish, seorang lelaki biasa terpaksa menahan kesakitan yang dialaminya akibat digigit oleh semut peluru setelah mencuba sendiri ritual suku kaum Satere-mawe ini.

Kongsi pendapat anda