Robin Williams Meninggal Dunia Disyaki Bunuh Diri

PELAKON komedi popular, Robin Williams meninggal dunia pada usia 63 tahun. Robin Williams disyaki meninggal kerana membunuh diri.

Kematian Robin Williams yang selama ini bergelut dengan kemurungan disahkan sendiri oleh isterinya, Susan Schneider.

“Pagi ini, saya kehilangan suami dan teman baik saya sementara dunia pula kehilangan salah seorang daripada artis yang disayangi. Saya amat-amat kecewa,” kata Susan.

Jabatan Polis di California dalam satu kenyataan menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.55 pagi waktu tempatan mengenai seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di kediamannya.

Susulan itu, pasukan penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba pada jam 12 tengah hari. Mangsa yang dikenalpasti sebagai Robin McLaurin Williams meninggal dunia pada jam 12.02 petang. Satu siasatan menyeluruh berhubung kematian Robin Williams sedang dijalankan.

Robin Williams meninggal dunia bunuh diri

Robin Williams terkenal dengan filem komedi dan mula dikenali pada lewat 1970-an selepas muncul sebagai makhluk asing dalam rancangan TV ‘Mork and Mindy’.

Robin Williams pernah memenangi 3 anugerah Golden Globes untuk filem Good Morning, Vietnam, Mrs. Doubtfire dan The Fisher King.

Dua minggu lalu, Williams memuat naik gambarnya bersama anak perempuannya dalam keadaan gembira menerusi akaun instragramnya. Dia selama ini bergelut dengan ketagihan alkohol dan dadah sejak lewat 1970-an dan awal 1980-an.

Kongsi pendapat anda