Sakitnya tuh disini

Assalamualaikum & Salam Ceria

Alhamdulillah hari ini kita masih diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk terus menjalankan perintahNya.

Sesungguhnya kita yakin bahawa kebaikan hari ini adalah untuk kita tuai di akhirat kelak.

menjaga-hati

Hari ini terasa terpanggill untuk membuat satu penulisan tentang diri sendiri supaya kita dapat bermuhasabah bersama. Semoga artikel kali ini ada manfaatnya.

“Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. daging yang dimaksudkan adalah HATI“. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Semua maklum hati yang bersih akan menzahirkan akhlak yang baik, begitu juga bila hati yang kotor akan menzahirkan akhlak yang keji.

Pada fitrah awalnya semua hati-hati di dunia ini semuanya bersih tatkala kita dilahirkan di dunia. Ianya bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w :

“Setiap bayi dilahirkan didalam fitrah (suci bersih).”

Namun bila kita menganjak dewasa, kita sudah mula mengenali dunia, maka sedikit demi sedikit hati kita mula di tompokkan dengan satu bintik hitam. Masa itu kita sudah mula mengenali kebendaan, riak, sombong, angkuh dan sebagainya. Kita sayangkan semua ini lebih daripada Allah s.w.t. Itulah tanda hati kita mati. Semakin kita rasakan dunia ini syurga, semakin banyak bintik hitam itu tadi.

Walhal orang yang beriman itu hanya merasakan dunia ini hanya tempat persinggahan untuk membuat segala amalan kebaikan yang akan dihitung kelak. Jika hati ini kita penuhkan dengan amalan-amalan kebaikan, maka hati ini juga akan menjadi bersih dan suci.

Ada satu hal yang membuatkan penulis kurang senang dikala melihat teman-teman yang tidak menutup aurat misalannya. Apabila ditanya kenapa tidak menutup aurat, malah jawapannya akan berbunyi begini .”Biarlah nak pakai apa-apa pun, tetapi HATI sebenar baik”

Bagi penulis ini antara maklumbalas yang dirasakan kurang baik dan boleh disifatkan sebagai “mempersendakan agama”. Soal menutup aurat itu kan sudah jelas. Sebab itulah diawalnya tadi ada menerangkan tentang segala yang kita lakukan adalah bermula daripada hati.

jaga

5 sebab hati mati 

Hati juga sama seperti tubuh badan. Adakala sihat dan adakala sakit. Ini Antara punca hati yang mati atau sakit :

  1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
  2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
  3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
  4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
  5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.

Jika orang sudah biasa berbuat maksiat, maka ia tidak lagi memandan buruk perbuatan itu, sehingga maksiat itu menjadi adat kebiasaan.

Justeru kita harus selalu berdoa agar Allah s.w.t menjaga hati kita supaya tidak terjerumus dengan hasutan dan bisikan syaitan. Amin.

Kongsi pendapat anda