Sandra Bullock Aktres Berpendapatan Paling Tinggi

MAJALAH Forbes baru-baru ini menamakan Sandra Bullock pelakon wanita yang meraih pendapatan tahunan tertinggi berdasarkan tahun kewangan antara Jun 2013 hingga Jun 2014.

Pendapatan berjumlah ASD51 juta atau RM163 juta itu diperoleh menerusi dua filem lakonannya tahun lalu, Gravity, terutama yang meraih RM2.286 bilion bagi pungutan keseluruhan, selain The Heat. Nyata, pada usia yang sudah mencecah 50 tahun, bintang kelahiran Virginia itu mampu kembali berada di puncak.

sandra bullock

Menyusul pada tangga kedua ialah Jennifer Lawrence yang masih mengekalkan kedudukan sama dengan pendapatan sebanyak RM109 juta.

Aktres berusia 23 tahun itu barangkali perlu berterima kasih kepada produksi The Hunger Games: Catching Fire dan X-Men: Days of Future Past yang membolehkannya mengekalkan kedudukan terbaik dalam senarai pelakon wanita dengan bayaran tinggi.

Jennifer Aniston pula berada pada kedudukan ketiga dengan pulangan bernilai RM99 juta sepanjang tempoh sama, disusuli oleh Gwyneth Paltrow (RM61 juta), yang juga laris sebagai wajah produk.

Pemenang tempat teratas tahun lalu, Angelina Jolie, turun ke tangga kelima dengan pendapatan kira-kira RM57.5 juta, berkongsi kedudukan dengan Cameron Diaz. Mengikuti di belakang ialah Scarlett Johansson dengan RM54.3 juta.
Dimaklumkan, wakil Forbes mengumpul maklumat dengan ejen, penerbit, peguam dan mereka yang arif dalam dunia hiburan sebagai anggaran sebelum menyiarkan angka berkenaan.

Tangga kelapan dan kesembilan memperlihatkan Amy Adams serta Natalie Portman berkongsi angka sama RM41.5 juta. Kedudukan ke-10 pula milik Kristen Stewart, yang dianggarkan meraih RM38.3 juta.

Seperti biasa, barisan aktres itu belum mampu menandingi pendapatan yang diperoleh pelakon lelaki apabila tiga nama besar iaitu Robert Downey Jr, Leonardo DiCaprio dan Bradley Cooper saja sudah mampu mengumpul sejumlah RM1.34 bilion, berbanding pendapatan mereka yang jika dihimpun keseluruhannya hanya berjumlah sekitar RM722 juta.

Senarai Aktres dengan Pendapatan Tertinggi 2014

1. Sandra Bullock
2. Jennifer Lawrence
3. Jennifer Aniston
4. Gwyneth Paltrow
5. Angelina Jolie
6. Cameron Diaz
7. Scarlett Johansson
8. Amy Adams
9. Natalie Portman
10. Kristen Stewart

Sumber: Berita Harian

Kongsi pendapat anda