Sultan Muhammad V dipilih Yang di-Pertuan Agong ke-15

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, pelantikan itu berkuat kuasa 13 Dis ini untuk tempoh lima tahun.

Baginda akan menggantikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

agong-2016Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad hari ini.

Tengku Muhammad Faris Petra, 47, putera sulung Sultan Ismail Petra menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.

Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat serta berkopiah putih ketika melawat rakyat.

Kongsi pendapat anda