Tarekat Tarjani Punca Kejadian Solat Dua Imam Serentak

Kejadian solat dua imam serentak di Masjid Pondok Banggol Stol, Meranti di Kelantan dipercayai berpunca daripada sebuah buku yang dipegang oleh pengikut ajaran Tarekat Tarjani di situ, yang kandungannya didakwa bercanggah dengan ajaran Islam.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, hasil perbincangan antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bersama kumpulan ajaran tarekat tersebut mendapati para penduduk enggan mengikuti solat berjemaah oleh kumpulan itu sehingga mereka membentuk jemaah solat baharu.

Video yang tersebar di media sosial termasuk aplikasi Whatsapp, menunjukkan bahawa dua kumpulan jemaah menunaikan solat dengan dua imam yang berasingan.

Solat Dua Imam
Sebuah akhbar harian tempatan hari ini melaporkan terdapat dua saf ketika solat fardhu dan tarawih di Masjid Pondok Banggol Stol, sejak 3 Julai lepas. Akhbar tersebut dipetik melaporkan, perbezaan fahaman agama Islam ini membawa percanggahan pendapat seterusnya berlaku kejadian perebutan saf hadapan di dalam masjid ketika menunaikan solat.

Perebutan saf hadapan ini menyebabkan sekumpulan jemaah yang lain solat di belakang jemaah pertama.

Walau bagaimanapun katanya, perkara ini diserahkan kepada Maik dan pihak yang berkaitan untuk siasatan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada. Mohamad Shukri berkata, kejadian solat dua imam serentak dalam satu masjid tidak sepatutnya berlaku apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

Katanya, bulan Ramadan sepatutnya menjadi platform untuk umat Islam bersatu dan bukannya menimbulkan perpecahan sehingga membawa kepada kejadian ini. Tindakan para penduduk di situ juga dilihat terlalu mengikut emosi sehingga sanggup melanggar hukum agama.

Kongsi pendapat anda