Tengku Amir Shah dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor

cunoej8wiaaaqxx

Alhamdulillah di panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah Rahmat dan KurniaNya, anakanda bongsu Sultan Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj telah selamat dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor dalam majlis penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Sabtu lalu.

Istiadat Pemasyhuran Gelaran itu dimulakan oleh Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah, selaku Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor.

Tengku Amir Shah mengangkat sumpah gelaran Raja Muda Selangor di hadapan ayahanda baginda, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj dan juga Permaisuri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.

raja-sel

Tengku Amir Shah melafazkan taat setia baginda untuk melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan ikhlas malah akan sentiasa patuh dalam menjunjung titah Sultan Selangor.

Dalam istiadat itu, baginda kemudiannya menandatangani watikah Lafaz Angkat Sumpah Gelaran yang disaksikan oleh Tengku Sulaiman Shah, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

Baginda kemudian melakukan Istiadat Menjunjung Duli dengan menerima keris kebesaran Raja Muda Selangor daripada Sultan Selangor yang dikenali sebagai Keris Panjang Berok Berayun.

Kemudian Tengku Amir Shah perlu berkelana selama tujuh hari di luar tanah negeri Selangor seperti amalan-amalan yang sebelum ini. Baginda perlu kembali semula pada Sabtu depan iaitu 15 Oktober 2016 di Balairung Seri Istana Alam Shah bagi menyempurnakan Istiadat Menghadap dan Menjunjung Duli.

Kongsi pendapat anda