Tipu Daya Bisnes Online

SAMA ada penjual atau pembeli pasti akan ada taktik untuk menipu semata-mata mahu dapatkan wang segera. Jika sebelum ini penjual sering dikaitkan sebagai penipu, namun trend itu kini bertukar apabila pembeli pula dikesan menipu di laman web jualan barangan dalam talian.

Pembeli Menipu

Penyangak dalam talian ini dilihat semakin berani apabila mereka menggunakan pendekatan yang lebih mesra iaitu berurusan secara langsung dengan peniaga melalui telefon, menjadikan peniaga yang diumpan lebih yakin dengan mereka. Objektifnya cukup mudah iaitu dengan menghubungi mana-mana individu yang mengiklankan barangan ingin dijual dalam talian dan berpura-pura menjadi pembeli yang kononnya berminat dengan barangan terbabit.

Penipuan dalam bisnes online

Bagi memastikan mangsa lebih cepat masuk ke perangkap yang dipasang, penyangak sanggup menawarkan bayaran lebih tinggi daripada harga asal. Taktik popular dengan memberitahu wang pembelian sudah dimasukkan dan pembayaran itu ‘sangkut’ atas alasan tertentu. Hakikatnya, wang belum dimasukkan dan email bank diterima juga palsu.

Helah peniaga

Keseronokan membeli barang di atas talian membuatkan ramai yang memilih cara berkenaan yang dianggap mudah, cepat dan menjimatkan bagi mendapatkan produk mahupun perkhidmatan. Lebih-lebih lagi sepanjang bulan Ramadan ini, pembelian secara atas talian meningkat berkali-kali ganda dengan pelbagai promosi oleh peniaga yang mengambil peluang sempena kedatangan Aidilfitri.

Trend pembelian melalui atas talian yang menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat hari ini turut diakui Pos Malaysia yang menyediakan perkhidmatan penghantaran melalui PosLaju.

Dalam satu laporan disediakan agensi berita tempatan yang menemu bual Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat dan Penjagaan Pelanggan Pos Malaysia, Datuk Rohaiza Hashim sebagai berkata trend itu semakin ketara sejak 3 tahun lalu apabila jumlah mengepos barangan meningkat dalam tempoh itu. Pada 2011, sebanyak 29 juta pengeposan barang dibuat meningkat kepada 30 juta pada 2012 dan terus meningkat kepada 40 juta pada tahun lalu. Kebiasaannya pada bulan Ramadan akan berlaku peningkatan pengeposan antara 25 hingga 30 peratus terutama dua minggu terakhir sebelum hari raya, katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin memaklumkan, Internet yang digunakan masyarakat untuk mencari, berkongsi maklumat dan berkomunikasi disalahgunakan untuk aktiviti jenayah seperti penipuan Internet.

Bagi tahun 2011, PDRM menerima 876 kes penipuan penghantaran bungkusan yang membabitkan kerugian RM18.9 juta. Pada 2012 pula, jumlah kerugian meningkat kepada RM34.6 juta walaupun jumlah kes yang dilaporkan menurun kepada 814 kes. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2013, sebanyak 381 kes dilaporkan dengan kerugian RM14.1 juta.

Antara kes membabitkan penjualan barang tipu di laman e-dagang, barang yang dijual tidak menyamai spesifikasi dipaparkan di Internet dan tidak menghantar barang yang dibeli meskipun bayaran sudah dibuat.

Sumber

Kongsi pendapat anda