‘Tujuh sahaja sempat turun’ selamatkan diri

“Saya orang pertama buka ‘grill’ (pintu pagar) dan turun dari bilik asrama yang sedang terbakar tetapi hanya tujuh sahaja yang sempat turun.”

Itu kata Muhammad Danial Amri Al-Haz Ali, 16, seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kejadian kebakaran di Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat , hari ini.

 

Muhammad Danial berkata, kira-kira jam 5.30 pagi, dia terdengar guru menjerit untuk mengejutkan pelajar supaya menyelamatkan diri kerana bangunan tiga tingkat asrama tahfiz itu terbakar.

“Saya berlari mencari lorong yang boleh keluar dari bilik asrama kami (tingkat tiga), saya sempat berlari membuka pintu pagar dan turun.

“Semua dalam bilik asrama ada 35 orang, tetapi yang sempat turun bersama saya tujuh orang sahaja. Yang lain tak sempat,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, selepas berjaya keluar daripada bangunan itu, dia meminta bantuan daripada penduduk setempat.

“Saya lihat api sudah marak di pintu asrama dan ketika itu ada rakan-rakan yang melompat untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, seorang guru di pusat tahfiz berkenaan, Mohd Arif Mawardy, 24 berkata, dia terkejut apabila mendengar bunyi seakan-akan ribut di luar bangunan berkenaan.

“Saya terjaga dan melihat keluar tingkap namun tidak berlaku sebarang ribut tetapi melihat kepulan asap di tingkat tiga banguna berkenaan.

“Semua penghuni asrama ketika itu sedang nyenyak tidur dan saya menjerit mengarahkan pelajar keluar dari asrama,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Arif berkata, dia ketika itu berada di tingkat dua bangunan berkenaan bersama tiga lagi guru cuba menyelamatkan pelajar di asrama yang terletak di tingkat tiga.

“Namun ada beberapa orang sahaja yang berjaya melompat keluar, selebihnya terperangkap di asrama berkenaan.

“Saya kemudian meminta tolong daripada penduduk setempat untuk membantu memadamkan kebakaran namun api yang sangat marak menyukarkan mereka.

“Saya terkilan kerana tidak menyedari kejadian kebakaran berlaku kerana menyangkakan ia adalah bunyi ribut,”katanya.

sumber: hmetro.com.my

Kongsi pendapat anda