Virus Zika dan hubungan seks 

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Selain menerusi gigitan nyamuk Aedes, virus Zika juga boleh disebarkan melalui hubungan seks. Menurut kajian, virus Zika boleh berada dalam badan manusia dari 21 hari sehingga 6 bulan. Sekiranya orang yang dijangkiti mengadakan hubungan seks pada tempoh berkenaan, ia mendedahkan risiko menjangkiti pasangan mereka. Mengikut penjelasan lanjut daripada Pengarah D1SC, MIMPA dan Malaysian Medical Gazette, Dr Mahesh Appannan.

Ini perkara yang anda perlu tahu:

1. Berapa lamakah virus Zika boleh bertahan dalam badan manusia?

Dr Mahesh: Ini soalan yang selalu ditanya oleh ramai akan tetapi ia masih dalam kajian sebenarnya. Kalau kita berbincang pasal badan manusia, virus Zika boleh terkandung dalam darah, air kencing, air mani atau cecair faraj.

Ada kajian mengatakan virus Zika ini boleh bertahan dalam badan manusia dari 21 hingga 30 hari, ada kajian lain yang mengatakan selama lapan minggu dan ada kajian yang mengatakan virus Zika boleh berada dalam badan selama enam bulan.

2. Apa perbezaannya bagi virus Zika yang terkandung dalam badan lelaki dan wanita?
Dr Mahesh: Untuk lelaki, kita fokus kepada air mani atau seminal fluid. Virus Zika boleh berada dalam air mani selama enam bulan. Untuk kaum wanita, virus Zika boleh terkandung dalam cecair faraj atau vaginal fluid sehingga dua bulan.
Ini bermakna jika wanita yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dalam lingkungan dua bulan, risiko pasangan mereka dijangkiti virus Zika adalah tinggi. Manakala jika kaum lelaki yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dengan pasangannya, risiko pasangan mereka mendapat virus Zika adalah tinggi dalam tempoh enam bulan ini

3. Apa langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan virus Zika menerusi hubungan seks?

Dr Mahesh: Virus Zika boleh dijangkiti melalui hubungan seksual dan konteks seksual di sini termasuk hubungan seks biasa, melalui seks luar tabii dan seks oral.

Penggunaan kondom sangat penting dan boleh mengurangkan risiko menjangkiti virus Zika melalui hubungan seks. Jika seseorang tidak melakukan sebarang hubungan seks, ia akan menghapuskan risiko dijangkiti atau menyebarkan virus Zika sama sekali.

4. Apakah garis panduan WHO dalam mencegah jangkitan virus Zika menerusi hubungan seks?

Dr Mahesh: Mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekiranya seseorang sudah dijangkiti virus Zika, untuk kaum lelaki adalah disarankan menggunakan kondom atau tidak melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya enam bulan dari hari pertama simptom Zika.

Manakala bagi kaum wanita, sekurang-kurangnya dua bulan atau lapan minggu. Bagi sesiapa yang baharu sahaja balik dari negara yang endemik Zika, mereka dinasihatkan untuk gunakan perlindungan iaitu kondom atau tidak melakukan hubungan seks selama lapan minggu atau dua bulan.

Kongsi pendapat anda