Wan Azizah Menteri Besar Selangor yang Baru?

PKR mencapai keputusan untuk meletakkan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor selepas selesai mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusat (MPP) malam tadi.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR mampu memberi kestabilan kepada Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.

“Nama yang dicadangkan adalah Wan Azizah selaku presiden parti dan saya percayai ia mampu beri gambaran kestabilan kepada PKR dan Pakatan,” -Anwar Ibrahim-

Mesyuarat PKR

Anwar mengakui mesyuarat diadakan bagi membincangkan mengenai isu menteri besar Selangor dan keputusan yang diperoleh adalah mengemukakan Dr Wan Azizah sebagai calonnya. Anwar menjelaskan pengumuman tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu di negeri Selangor yang semakin meruncing.

Anwar memberi pujian kepada pentadbiran Khalid yang dilantik menteri besar untuk penggal kedua tetapi menegaskan perubahan perlu dilakukan. Isu menteri besar Selangor panas sejak selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) dan tidak selesai sehingga kini.

Daripada isu kalimah Allah, isu Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), kontroversi Lebuhraya Kinrara-Damansara dan pertembungan politik dalaman PKR mengganggu pentadbiran negeri terkaya itu.

Nama Dr Wan Azizah sebelum ini juga dikatakan akan mengisi jawatan tersebut, bagaimanapun pembangkang Barisan Nasional (BN) mengkritik usaha tersebut. Anwar pada sidang media itu juga berkata tidak kisah mengenai kritikan susulan keputusan tersebut.

Kongsi pendapat anda