Wan Ji Wan Hussin mengaku tidak bersalah hina Sultan Selangor

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Ulama PAS Selangor Wan Ji Wan Husin hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam Selangor atas tuduhan menghasut pada November 2012. Hakim Slamat Yahya menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan disebut semula pada 10 Oktober 2014.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wan Ji, 32, dituduh mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan di Facebook pada jam 10 pagi menghina Sultan Selangor.

Hakim menetapkan pasport antarabangsa Wan Ji diserahkan kepada mahkamah namun peguamnya Mohd Razlan Jalal berkata pasport anak guamnya sudah hilang dan tamat tempoh. Sehubungan itu, hakim mengarahkan timbalan pendakwaraya Mohd Azhari Harun memberi arahan kepada Jabatan Imigresen bagi menyekat Wan Ji keluar negara.

Wan Ji Wan Hussin

Razlan semasa proses pembelaan hari ini memohon pengurangan wang ikat jamin sebanyak RM2,000 ekoran tertuduh tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, namun ia ditolak mahkamah.

Wan Ji ditahan polis awal pagi tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam sebelum dituduh di Mahkamah Sesyen hari ini.

Kongsi pendapat anda